Tuesday, January 11, 2011

Gua tanpa penghujung di Vietnam


SATU ekspedisi pasukan pengkaji gua warga Britain percaya mereka menjumpai laluan gua terbesar di dunia berada di tengah-tengah hutan belantara di Vietnam.
Laluan berbatu itu sepanjang 150 meter dan berketinggian 200 meter — tujuh kali tinggi siling kekubah gereja besar di York.
Laluan yang dikenali sebagai Gua Hang Son Doong (Gua Gunung Sungai) itu dipercayai mempunyai saiz hampir dua kali ganda gua paling besar yang tersenarai dalam rekod dunia masa kini.
“Gua itu antara penemuan terbesar pasukan pengkaji gua dari Britain dan saiznya benar-benar mengagumkan,” kata seorang anggota ekspedisi yang disertai 13 pengkaji gua itu, Adam Spillane.
Dengan menggunakan alat pengukur yang dikenali sebagai LaserRace 300 untuk mengukur tinggi dan lebar gua itu, pasukan terbabit kini kembali ke United Kingdom untuk melakukan analisis.
Gua itu asalnya ditemui seorang lelaki rakyat Vietnam, Ho Khanh yang menghuni kawasan hutan berkenaan pada 1991. Bagaimanapun, Spillane berkata, tiada seorang pun pernah memasukinya kerana ia diselubungi bunyi bising dan deruan angin yang sungguh menakutkan, dipercayai berpunca daripada sungai bawah tanah dalam gua itu.


Namun, pasukan pengkaji Britain itu yang dibantu wakil dari Universiti Sains Hanoi menjalankan satu Ekspedisi Kembara Britain-Vietnam pada April 2009 dan mereka menghabiskan lima hari menjelajahi gua itu yang terletak di Taman Negara Phong Nha-Ke Bang.
Pasukan itu menghabiskan enam jam merentasi hutan belantara untuk sampai ke gua berkenaan.

Mereka terpaksa mendaki turun ke satu kawah yang luas dan menyeberangi dua sungai bawah tanah sebelum sampai ke laluan masuk utama Gua Hang Son Doong.
Pasukan itu dijangka kembali lagi ke Vietnam untuk menyelesaikan ekspedisi dan penyelidikan lengkap mengenai gua itu.

“Gua itu sepanjang 6.5 kilometer tetapi penghujung laluan utamanya masih bersambung dengan tembok batu kapur setinggi 45 meter dan ia menghalang pengembaraan kami untuk masuk lebih jauh.
“Lebih banyak kajian perlu dilakukan dalam ekspedisi seterusnya bagi membuat penyelidikan lengkap mengenai Gua Hang Son Doong, di samping mendapatkan fotografi penuh di dalamnya.
“Ia benar-benar satu pencapaian terbaik masa kini untuk menemukan dan menjelajahi gua yang cukup hebat,” kata Spillane.
info : Harian Metro

No comments: