Saturday, March 31, 2012

Buruk Sangka


Buruk sangka terbahagi dua, iaitu:
Pertama:  Prasangka yang membawa kepada keburukan walaupun pada mulanya ia menyangka atau berniat baik. Misalnya menambah atau mengurangkan sesuatu amal yang tiada hujjahnya dari syara, maka ia diharamkan kerana selain bertentangan dengan syara ia juga adalah bid’ah yang diharamkan.  Dalilnya dapat difahami dari firman Allah Azza wa-Jalla:
وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا 
"Dan mereka mengira (menyangka) bahawa apa yang mereka lakukan adalah baik (kebaikan)".
AL KAHFI, 18:104.

Menurut ayat di atas, perkiraan atau sangkaan mereka yang baik dalam mencipta serta mengadakan- adakan suatu amal yang baru adalah salah walaupun dengan niat yang baik dan kerana Allah, kerana menambah atau mengurangkan sesuatu dalam agama Islam tidak pernah ada keizinannya dari Allah Subhanahu wa-Ta’ala.  Agama Allah (Islam) sudah sempurna sehingga tidak perlu ditokok tambah sebagaimana firman Allah:
اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ
"Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu".
AL MAIDAH, 5:3.

Kedua:  Buruk sangka dari hati yang sedar dan disengajakan oleh pembuatnya.  Al-Quran dan as-Sunnah telah menjelaskan bahawa kebanyakan manusia mempunyai rasa buruk sangka terhadap Allah dan agamaNya.  Termasuklah mereka yang mengakui sebagai muslim lantaran kejahilannya.  Sama ada mereka berburuk sangka terhadap Allah mengenai kesempurnaan syariatNya atau terhadap kebenaran dan kesucian agamaNya.  Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya:
وَمَا يَتَّبِعُ اَكْثَرُهُمْ اِلاَّ ظَنًّا اِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
 
"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja, sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun  berguna untuk mencapai kebenaran". 
YUNUS, 10:36.

Buruk sangka terhadap Allah sehingga kurang meyakini akan kebesaranNya, kebijaksanaanNya dan kuasaNya untuk melakukan segala apa sahaja yang dikehendakiNya.  Atau tidak dapat menerima hakikat bahawa manusia dicipta untuk diuji dan untuk menghambakan diri kepada Allah,  maka penafian dan keingkaran yang tidak berasas ini diistilahkan sebagai buruk sangka terhadap Allah.  Sikap manusia seperti ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya:
وَقَالُوْا مَاهِى اِلاَّ حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوْتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَآ اِلاَّ الدَّهْرُ وَمَالَهُمْ بِذَالِكَ مِنْ عِلْمٍ اِنْ هُمْ اِلاَّ يَظُنُّوْنَ
 
"Dan mereka berkata:  Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah sangkaan sahaja".  AL JAATSIYAH,  45:24.

اَفَحَسِبْتُمْ اَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَانَّكُمْ اِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُوْنَ
 
"Apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?".  AL MU'MINUUN, 23:115.

Orang-orang yang kufur dan fasik menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksa mereka, begitu juga dengan perkiraan sebahagian orang-orang yang jahil yang menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksa mereka selagi mereka mengakui sebagai orang Islam sedangkan mereka tidak melaksanakan kewajiban syara seperti sembahyang, puasa dan lainnya.  Allah telah menjelaskan tentang orang-orang yang fasik seperti ini sebagaimana firmanNya:
لاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِيْنَ يَفْرَحُوْنَ بِمَآ اَتَوا وَّيُحِّبُّوْنَ اَنْ يُحْمَدُوْا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوْا فَلاَ تَحْسَبَنَّهُمْ بِمَفَازَةٍ مِنَ الْعَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ
 
"Janganlah kamu sekali-kali menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan janganlah kamu menyangka bahawa mereka akan terlepas dari siksa, dan bagi mereka siksa yang pedih". ALI IMRAN, 3:188.

Ada segolongan manusia yang berburuk sangka terhadap penerimaan Allah tentang sebahagian amal ibadah yang telah dikerjakan, ia menyangka ada amal ibadahnya yang tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala.  Ia berpunca sama ada disebabkan keraguan atau penyakit was-was. Keraguan dan was-was seperti ini adalah haram dan boleh membawa kepada buruk sangka terhadap Allah.  Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang umatnya dari berasa ragu-ragu dan was-was tentang ibadah yang telah dikerjakan sebagaimana sabda baginda:
(وَذَالِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِىعَنْ جَابِرٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَيَمُوْتَنَّ اَحَدُكُمْ اِلاَّوَهُوَ مُحْسِنٌ بِاللهِ الظَّنَّ فَاِنَّ قَوْمًا قَدْ اَرْدَاهُمْ سُوْءُ ظَنِّهِمْ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ اَرْدَاكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ مِنَ الْحَاسِرِيْنَ)
 
"Dari Jabir berkata: Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam:  Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah Azza Wajl (sebagaimana firman Allah) "Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu, prasangka itu telah membinasakan dirimu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi".  (FUSHSILAT, 23:41).  H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Orang-orang yang beriman diharamkan dari meragui apa sahaja perkara dan kejadian yang berlaku terhadap dirinya atau terhadap yang lainnya sehingga membelakang dan mengenepikan Allah atas urusan tersebut, kerana keraguan seperti itu boleh membawa kepada buruk sangka terhadap Allah.
هُعَنْ اَبِى بَكْرٍ قَالَ : قُلْتُ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَنَا فِى الْغَارِ لَوْ اَحَدَهُمْ نَظَرَ تَحْتَ قَدَمَيْهِ لاَبْصَرَنَا فَقَالَ : مَا ظَنُّكَ يَا اَبَا بَكْرٍ بِاثْنَيْنِ الل ثَالِثُهُمِا
 
"Dari Abi Bakar berkata:  Aku katakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan aku di dalam gua:  Jika salah seorang dari mereka melihat (melalui) bawah kakinya, nescaya akan melihat kita hanya berdua.  Maka baginda bersabda:  Tidaklah begitu persangkaanmu wahai Abi Bakar, dengan berdua (dan) Allah yang ketiga".  H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.
    
Kesemua dalil-dalil dari al-Quran dan hadith di atas menjelaskan bahawa berburuk sangka (berperasangkaan buruk) terhadap Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam apa hal sekalipun adalah perbuatan keji dan kufur (syirik terhadap Allah).  Buruk sangka terhadap Allah adalah sikap orang-orang kafir (musyrikin) jahiliah yang sangat dikutuk dan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala.
Setiap orang yang beriman dilarang dari berburuk sangka terhadap keadilan Allah kepada makhlukNya, berburuk sangka terhadap kesempurnaan agama Allah dan berburuk sangka terhadap kekuasaan Allah sehingga membelakangkan Allah dalam segala aspek dan cara hidup yang dianggap ibadah oleh syara.

No comments: