Friday, March 9, 2012

Bersangka Baik Terhadap Pasangan..

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan. Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

Sering berdamping dengan orang yang positif.
Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga.

Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu lakukan aktiviti fizikal seperti membaca, beriadah atau perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat.

Jangan terlalu serius.
Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Kesimpulan.
Bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Bak kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

sumber: Pahrol Mohd Juoi

No comments: